Rabu, 20 Januari 2010

Unit Amal perlu lebih terserlah

Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Unit Amal Pusat, Nazir Ibrahim ketika ditemui selepas berucap sempena Jambori Amal Peringkat Negeri Pulau Pinang di Taman Rekreasi Pengkalan Batu, Tasek Gelugor berkata, penglibatan Unit Amal atau gelaran 'Tentera Merah' oleh sebilangan penduduk Johor mengambarkan pergerakan itu telah diterima sebagai sebuah organisasi sebaris dengan pasukan beruniform lain.

Maka, pembinaan imej wajar diberikan keutamaan kerana melalui imej, Unit Amal boleh melonjakkan pengaruh PAS khususnya di negeri yang terkenal dengan kubu kuat Umno.

"Bila berlaku sesuatu bala, Unit Amal atau 'Tentera Merah' tidak ketinggalan menghulurkan bantuan bersama pasukan uniform lain bahkan kadang-kadang melebihi daripada apa yang pasukan lain berikan. Kita patut bangga dengan pencapaian ini, " jelasnya.

Menurut beliau, untuk mencapai peringkat ke tiga dalam latihan turut padang semua ahli Unit Amal perlu melalui dua fasa iaitu pengrekrutan serta pembinaan imej agar lebih dikenali.

Pengrekrutan katanya, lebih kepada pembinaan sahsiah, ilmu psikologi, kemahiran seperti ikatan, perkhemahan dan mengendali kumpulan.

Selepas itu pembinaan imej menyusul, kemudian baru terjun ke dalam masyarakat dengan bekalan yang mantap.

"Untuk melahirkan Unit Amal yang berjaya mesti melalui latihan secara intensif barulah seseorang boleh terjun ke mana sahaja untuk berkhidmat, " katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Azizi Ayub dalam ucapan perasmiannya berharap Unit Amal bertapak kukuh di negeri ini dengan mengadakan berbagai acara yang menarik.

Menurutnya, ramai lagi sasaran yang perlu difokuskan terutamanya golongan remaja lepasan sekolah dan lazimnya mereka senang terjebak jika tidak dirapati.

Memandangkan soal keruntuhan moral kian meruncing di Malaysia maka Unit Amal seharusnya berperanan membantu dengan melancarkan berbagai pendekatan.

Program dua hari anjuran Unit Amal Negeri Pulau Pinang itu merupakan program dwi tahunan bagi menghimpun semua tenaga agar lebih terlatih dan menanam emej baru di kalangan peserta. - mks.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites