Rabu, 20 Januari 2010

Mangsa keganasan polis di Himpunan Aman


KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Mangsa keganasan polis dalam kejadian pukul pada Perhimpunan Aman Rakyat anjuran Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) 10 November lalu, Aleyasak Hamid, 31, akan mengemukakan saman terhadap kerajaan dan polis.Menurut peguam beliau, Fadiya Nadwa, Aleyasak telah bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menamakan Polis Diraja Malaysia dan kerajaan Malaysia sebagai plaintif atas dakwaan penderaan yang mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius (patah kaki).

“Setakat ini, pihak polis telah membuka kertas siasatan tetapi pihak kami masih tidak mengetahui status perkembangan terkini siasatan yang dijalankan,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelasnya, Aleyasak akan mengemukakan tuntutan sejumlah gantirugi kewangan kepada pihak mahkamah termasuk gantirugi bagi kos perubatan akibat kecederaan serta gantirugi teladan.

“Gantirugi teladan dipohon bertujuan untuk memberi pengajaran kepada pihak yang melakukan kecederaan tersebut supaya tidak mengulangi tindakan tersebut pada masa akan datang,” tambahnya.

Pihaknya setakat ini masih belum membuat keputusan mengenai nilai tuntutan kewangan yang akan dibuat kepada plaintif, kerana perbincangan mengenainya belum dijalankan.

Ujarnya, sungguhpun polis mempunyai kuasa untuk menjaga ketenteraman awam, tetapi mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dengan memukul individu yang tidak bersalah.

Fadiyah yang mewakili anak guamnya, Aleyasak beserta pasukan peguam lain yang dilantik sedang mengambil kenyataan daripada Aleyasak untuk difailkan di mahkamah dalam tempoh terdekat ini.

Selain itu, enam lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan ringan dalam perhimpunan tersebut belum menyatakan keputusan mereka untuk mengambil tindakan yang serupa.

Sementara itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan sekiranya Aleyasak akan dikenakan tindakan ISA, tetapi pasukan peguam yang mewakilinya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan tersebut.

“Apa yang penting, proses prosiding kes ini kelak akan membuatkan orang ramai tidak lupa akan peristiwa perhimpunan bersejarah 10 November lalu,” ujarnya lagi.

Keadaan terkini Aleyasak juga dilaporkan semakin pulih dan telah pun pulang ke rumahnya di Kajang.

Aleyasak merupakan cucu Pak Yazid Jaafar dan mencari nafkah sebagai penjual goreng pisang telah mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek dalam perhimpunan rakyat 10 November lalu.

Katanya, ketika kejadian itu beliau bersama 50 orang peserta himpunan lain, sedang berjalan dan secara tiba-tiba beliau terdengar suatu suara yang kuat “Lari!”.

“Kemudian anggota polis mengejar dan menerpa, kaki saya tersangkut dan jatuh ditindih oleh polis,” ujar Aleyasak.

Beliau hanya dibantu oleh anggota Unit Amal Malaysia dan tidak mendapat simpati pegawai polis yang terus menerus mengasarinya.

Aleyasak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pada malam 10 November dan telah menjalani pembedahan pada jam 1.30 tengah hari pada dua hari selepas kejadian.

Menurut pegawai perubatan yang melakukan pembedahan tersebut, berdasarkan laporan kesihatan dan hasil x-ray kaki Aleyasak jika sekiranya ia dikemukakan untuk tindakan undang-undang, beliau berpotensi untuk memenangi kes tersebut.

Harakahdaily juga difahamkan, keluarganya berasa sedikit terganggu dengan gangguan pihak tertentu yang meminta supaya beliau tidak membuat sebarang laporan berhubung kejadian tersebut. – mks

0 ulasan:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites