Isnin, 25 Januari 2010

SEJARAH PENUBUHAN



Ianya tercetus melalui sebuah panduan kertas kerja induk Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DPP Pusat sessi 1989/91. Dan kemudian disahkan oleh mesyuarat Jawatan Kuasa DPP Pusat kali ke-4 pada 1 julai 1989 dengan digerakkan oleh satu unit penajaan seramai 12 orang dari Terengganu yang mempunyai pelbagai pengalaman pasukan sukarelawan beruniform.
Majlis Pelancaran Unit Amal ( Kebajikan dan Rekreasi ) telah diadakan pada 14 hingga 16 febuari 1991 bertempat di Pantai Peranginan Tok Jembal, Kuala Terengganu yang dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Unit Amal Pusat dengan kerjasama Unit Amal Terengganu.
Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Guru Haji Harun Taib pada masa itu beliau merupakan Ahli Majlis Syura' Ulama merangkap Pesuruhjaya PAS Terengganu. Pelancaran tersebut dinamakan Jambori Pertama dan telah berjaya mengumpul penyertaan seramai 851 anggota Unit Amal dari seluruh negara.
Tuan Haji Husin Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Amal yang pertama. Pasukan ini kemudiannya diikuti oleh Panubuhan Unit Amal Nisa oleh Dewan Muslimat PAS Pusat.
Bermula dari situlah penubuhan Unit Amal diseluruh negara dipertingkatkan.
Sdr Jamuliddin Ellias telah dipilih sebagai Ketua Pengarah yang Kedua bermula 2002-2005.Berbagai kejayaan telah berjaya dilaksanakan oleh Unit Amal Pusat selama tempoh tersebut terutama dalam memberi khidmat kepada PAS disemua peringkat.
Mulai JulAI 2005, Sdr Ust Jamsari Marsom telah dipilih sebagai Ketua Pengarah yang ke tiga menggantikan Sdr Jamuliddin Ellias yang telah melebihi umur pemuda.Dibawah YB Salahuddin Ayub selaku Ketua DPPP pada ketika itu, satu perubahan drastic dilakukan oleh Unit Amal untuk menumpu engagement dengan masyarakat sesuai dengan misi dan visi baru DPPP.
Bermula Febuari 2006, Unit Amal telah dianugerahkan pakaian resmi yang baru berwarna merah terang yang lebih ceria sesuai dengan citarasa pemuda pada ketika ini. Majlis Penganugerahan Pemakaian Pakaian Resmi tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat di Perdana Resort, Kota Bharu.



Jumaat, 22 Januari 2010

Unit Amal Badan Sukarelawan Untuk Semua




HULU TERENGGANU - Unit Amal (Amal) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa khidmat masyarakat yang diberikan unit tersebut hanyalah untuk ahli-ahli PAS semata-mata.

Sebaliknya ia adalah pertubuhan sukarelawan yang terbuka kepada semua, untuk kebajikan dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik dan latarbelakang kaum.

Pengarah Unit Amal Negeri Terengganu, Mohd Shaiful Ambia Darusa berkata, walaupun penubuhannya ‘dibayangi’ parti politik tetapi dari sudut latihan dan pelaksanaan kerja-kerja sukarela, Amal tidak berhalangan dan bebas sebagai sebuah badan sosial.

“Tidak dinafikan Unit Amal ini di bawah PAS, tetapi kerja-kerja sukarela yang kita jalankan tidak terhad kepada kawasan tertentu atau hanya penyokong PAS semata-mata, ia adalah untuk semua

(Gambar - anggota unit amal mengharung air sungai sewaktu latihan dan pertandingan Jambori baru-baru ini) .


“Paling penting ialah kita dapat menabur bakti secara sukarela kepada masyarakat kerana jalinan pemuafakatan sebenarnya lebih bernilai.

“Berkonsepkan kemasyarakatan, Unit Amal menolong mereka yang memerlukan (bantuan) dari aspek tenaga seperti membantu mangsa-mangsa banjir di Johor beberapa tahun lalu,”katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan keperluan dapur yang berupa beras, gula minyak kepada penduduk miskin sekitar Kampung Tajin, disini.

Menurutnya Unit Amal negeri Terengganu telah berkampung selama tiga hari, di Kampung Gaung, dekat Jambatan Kuala Berang, disini, dalam acara tahunan, Jambori Amal Peringkat Negeri.

Katanya pelbagai acara diadakan termasuk latihan dan pertandingan yang melibatkan fizikal dan mental, selain program kemasyarakatan, memberi khidmatan kepada masyarakat setempat seperti gotong royong, membantu golongan kurang bernasib baik, dan menyampai sumbangan bantuan keperluan harian.

“Tahun lalu kita adakan di Merchang, Marang dan kali ini selain mengadakan perkhemahan di sini, terdapat juga beberapa aktiviti sampingan melibatkan khidmat sosial di beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri Kuala Berang iaitu Kampung Tajin, Kampung Tanjung dan Telaga Putat.

“Selain aktiviti sukaneka, kita juga menjalankan program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan, menjalankan kerja-kerja mengecat, membina surau dan menziarahi rumah-rumah golongan fakir miskin,” katanya.

Menurutnya, serama 250 orang peserta Amal dari seluruh negeri menyertai program tersebut yang di anjurkan dibawah Jabatan Amal, Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Turut hadir dan menyampaikan sumbangan bantuan keperluan kepada penduduk Kampung Tajin ialah Bendahari PAS Terengganu yang juga bekas Ahli Parlimen Kawasan Hulu Terengganu, Hj Muhyidin Abdul Rashid

Rabu, 20 Januari 2010

Mangsa keganasan polis di Himpunan Aman


KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Mangsa keganasan polis dalam kejadian pukul pada Perhimpunan Aman Rakyat anjuran Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) 10 November lalu, Aleyasak Hamid, 31, akan mengemukakan saman terhadap kerajaan dan polis.Menurut peguam beliau, Fadiya Nadwa, Aleyasak telah bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menamakan Polis Diraja Malaysia dan kerajaan Malaysia sebagai plaintif atas dakwaan penderaan yang mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius (patah kaki).

“Setakat ini, pihak polis telah membuka kertas siasatan tetapi pihak kami masih tidak mengetahui status perkembangan terkini siasatan yang dijalankan,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelasnya, Aleyasak akan mengemukakan tuntutan sejumlah gantirugi kewangan kepada pihak mahkamah termasuk gantirugi bagi kos perubatan akibat kecederaan serta gantirugi teladan.

“Gantirugi teladan dipohon bertujuan untuk memberi pengajaran kepada pihak yang melakukan kecederaan tersebut supaya tidak mengulangi tindakan tersebut pada masa akan datang,” tambahnya.

Pihaknya setakat ini masih belum membuat keputusan mengenai nilai tuntutan kewangan yang akan dibuat kepada plaintif, kerana perbincangan mengenainya belum dijalankan.

Ujarnya, sungguhpun polis mempunyai kuasa untuk menjaga ketenteraman awam, tetapi mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dengan memukul individu yang tidak bersalah.

Fadiyah yang mewakili anak guamnya, Aleyasak beserta pasukan peguam lain yang dilantik sedang mengambil kenyataan daripada Aleyasak untuk difailkan di mahkamah dalam tempoh terdekat ini.

Selain itu, enam lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan ringan dalam perhimpunan tersebut belum menyatakan keputusan mereka untuk mengambil tindakan yang serupa.

Sementara itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan sekiranya Aleyasak akan dikenakan tindakan ISA, tetapi pasukan peguam yang mewakilinya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan tersebut.

“Apa yang penting, proses prosiding kes ini kelak akan membuatkan orang ramai tidak lupa akan peristiwa perhimpunan bersejarah 10 November lalu,” ujarnya lagi.

Keadaan terkini Aleyasak juga dilaporkan semakin pulih dan telah pun pulang ke rumahnya di Kajang.

Aleyasak merupakan cucu Pak Yazid Jaafar dan mencari nafkah sebagai penjual goreng pisang telah mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek dalam perhimpunan rakyat 10 November lalu.

Katanya, ketika kejadian itu beliau bersama 50 orang peserta himpunan lain, sedang berjalan dan secara tiba-tiba beliau terdengar suatu suara yang kuat “Lari!”.

“Kemudian anggota polis mengejar dan menerpa, kaki saya tersangkut dan jatuh ditindih oleh polis,” ujar Aleyasak.

Beliau hanya dibantu oleh anggota Unit Amal Malaysia dan tidak mendapat simpati pegawai polis yang terus menerus mengasarinya.

Aleyasak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pada malam 10 November dan telah menjalani pembedahan pada jam 1.30 tengah hari pada dua hari selepas kejadian.

Menurut pegawai perubatan yang melakukan pembedahan tersebut, berdasarkan laporan kesihatan dan hasil x-ray kaki Aleyasak jika sekiranya ia dikemukakan untuk tindakan undang-undang, beliau berpotensi untuk memenangi kes tersebut.

Harakahdaily juga difahamkan, keluarganya berasa sedikit terganggu dengan gangguan pihak tertentu yang meminta supaya beliau tidak membuat sebarang laporan berhubung kejadian tersebut. – mks

Kenyataan Dr Halimah Ali

Mereka datang dari jauh dan dekat. Ada yang dari Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah. Wakil dari Negeri Sembilan juga turut membantu dalam menjayakan program GOTONG ROYONG yang diselaraskan oleh Sdr Jamulidin Elias, Timb Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, merangkap ahli MPK. Mereka adalah Unit Amal PAS negeri-negeri. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih buat mereka semua.

Tidak lupa juga anggota JPA3, anggota Jabatan Bomba, Anggota RELA, ahli Kelab Penyokong PAS kaum India, ahli Briged Amal Selangor yang baru ditubuhkan, ahli PAS dan PKR Selangor dan setempat serta semua individu dan syarikat yang telah membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program GOTONG ROYONG. Semoga anda semua diberi ganjaran Ilahi setimpal dengan pengorbanan anda semua.







Kelihatan Naib Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Dr Abd Rani (ADUN Meru) dan Dr halimah sedang meninjau salah sebuah rumah mangsa bencana

Unit Amal perlu lebih terserlah

Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Unit Amal Pusat, Nazir Ibrahim ketika ditemui selepas berucap sempena Jambori Amal Peringkat Negeri Pulau Pinang di Taman Rekreasi Pengkalan Batu, Tasek Gelugor berkata, penglibatan Unit Amal atau gelaran 'Tentera Merah' oleh sebilangan penduduk Johor mengambarkan pergerakan itu telah diterima sebagai sebuah organisasi sebaris dengan pasukan beruniform lain.

Maka, pembinaan imej wajar diberikan keutamaan kerana melalui imej, Unit Amal boleh melonjakkan pengaruh PAS khususnya di negeri yang terkenal dengan kubu kuat Umno.

"Bila berlaku sesuatu bala, Unit Amal atau 'Tentera Merah' tidak ketinggalan menghulurkan bantuan bersama pasukan uniform lain bahkan kadang-kadang melebihi daripada apa yang pasukan lain berikan. Kita patut bangga dengan pencapaian ini, " jelasnya.

Menurut beliau, untuk mencapai peringkat ke tiga dalam latihan turut padang semua ahli Unit Amal perlu melalui dua fasa iaitu pengrekrutan serta pembinaan imej agar lebih dikenali.

Pengrekrutan katanya, lebih kepada pembinaan sahsiah, ilmu psikologi, kemahiran seperti ikatan, perkhemahan dan mengendali kumpulan.

Selepas itu pembinaan imej menyusul, kemudian baru terjun ke dalam masyarakat dengan bekalan yang mantap.

"Untuk melahirkan Unit Amal yang berjaya mesti melalui latihan secara intensif barulah seseorang boleh terjun ke mana sahaja untuk berkhidmat, " katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Azizi Ayub dalam ucapan perasmiannya berharap Unit Amal bertapak kukuh di negeri ini dengan mengadakan berbagai acara yang menarik.

Menurutnya, ramai lagi sasaran yang perlu difokuskan terutamanya golongan remaja lepasan sekolah dan lazimnya mereka senang terjebak jika tidak dirapati.

Memandangkan soal keruntuhan moral kian meruncing di Malaysia maka Unit Amal seharusnya berperanan membantu dengan melancarkan berbagai pendekatan.

Program dua hari anjuran Unit Amal Negeri Pulau Pinang itu merupakan program dwi tahunan bagi menghimpun semua tenaga agar lebih terlatih dan menanam emej baru di kalangan peserta. - mks.

HIMPUNAN AMAN


HIMPUNAN Aman pada Sabtu 10 November di Dataran Merdeka anjuran BERSIH akan tetap diteruskan. Walaupunpihak penganjur menerima begitu banyak ancaman, namun tuntutan massa rakyat memberikan laluan untuk perhimpunan ini terus berjalan. Beberapa orang ahli jawatankuasa BERSIH telah dipanggil ke Bukit Aman pada 12November ini.Khairi Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula telah mengarahkan pihak Polis membuat tangkapan
terhadap pimpinan dan peserta Himpunan. Arahan ini adalah suatu yang biadap dan tidak rasional kerana himpunan ini adalah hak dan kebebasan rakyat. Rakyat berhak berada di mana sahaja mereka berada dan pemuda UMNO tidak berhak untuk menghalang perhimpunan ini.
Ketakutkan semakin terserlah di wajah pimpinan UMNO kerana himpunan ini. Khairi yang pada mulanya mencadangkan untuk pemuda UMNO turun berdepan dengan Himpunan BERSIH ini akhirnya mengaku kalah dalam ucapan yang sama dan mengakui bahawa pemuda UMNO tidak mampu berhadapan dengan 100 ribu rakyat.

Oleh itu, beliau tiada pilihan dan kemungkinan besar Polis akan dijadikan kuda tunggangan mereka bagi menghadapi peserta himpunan aman ini. Kepada pihak Polis, kami mengingatkan agar mereka tidak membiarkan diri mereka diperkudakan lagi. Ini adalah himpunan rakyat, dan pihak Polis juga dialu-alukan bagi menyertai rakyat dalam himpunan ini atas jiwa mereka sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan negara ini. Diperingkat PAS pula, seramai 2000 orang petugas Unit Amal Malaysia yang beruniform dan tidak beruniform akan berkawal bagi memastikan tiadanya provokasi dan kekecohan yang boleh memburukkan imej perhimpunan ini. Kita datang dengan ama dan Unit Amal akan membantu kita.

Jika ada kalangan peserta yang cuba melakukan provokasi seperti membawa bendera parti politik, melaungkan katakata yang kesat, membaling atau menggunakan apa-apa objek yang boleh membahayakan orang lain, mereka akan dikeluarkan dari perhimpunan ini serta merta atau diserahkan kepada pihak Polis jika perlu. Kita yakin, bahawa terdapatnya konspirasi terancang bagi mensabotaj himpunan ini dan kita juga telah bersiap sedia bagi menghadapi perhimpunan ini. Kepada peserta perhimpunan yang masih ragu lagi, pihak penganjur juga telah menyediakan barisan peguam yang cekap untuk menjamin dan membela anda sekiranya ditangkap. Para peguam ini akan membantu dan membela hak anda sesuai dengan peruntukan Perlembagaan. Oleh itu tiada sebab untuk kita tidak hadir dan tunduk pada ancaman yang kini semakin tersebar luas.
Pastikan anda hadir dengan aman dan segalanya akan berjalan secara aman!

Catatan Unit Amal - Himpunan Bersih

Catatan Mohd Zad Abdullah (anggota Unit Amal W.Persekutuan yang ditahan polis pada Himpunan BERSIH yang lalu)

10 Nov 2007

Selepas memberi taklimat kepada petugas Unit Amal dibawah saya sekitar pukul 11.15 pagi, kami mula bergerak ke lokasi kami iaitu Kompleks Sogo untuk mengambil posisi tugas masing-masing. Saya meminta petugas. Kami tiba di Sogo sekitar pukul 11.45pagi. Kemudian kami berkumpul dihadapan Sogo sebagai isyarat kepada peserta lain bahawa kami berada disitu.

Lebih kurang pukul 12.30 tgh, kami didatangi seorang pegawai berpangkat ASP meminta kami supaya bersurai dari situ jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan. Saya kemudian mengarahkan sahabat-sahabat saya dan anggota Unit Amal lain bersurai seketika sebelum tiba waktu yang ditetapkan.

Selepas semuanya bersurai, saya masih berada disitu sambil berlegar di kawasan sekitar. Pada pukul 12.40 tgh, saya didatangi kembali pegawai ASP tadi beserta seorang SB lalu meminta kad pengenalan saya kemudian saya diperiksa oleh SB tadi. Selepas dari itu, saya diarah mengikuti pegawai tadi ke kereta peronda polis dan saya terus dibawa ke IPKKL, Jalan Hang Tuah.

Semasa di IPKKL, Jalan Hang Tuah, saya diminta beri keterangan dan diperiksa bertalu-talu oleh beberapa pegawai berpangkat inspector. Barangan yang saya bawa seperti set walkie talkie serta baju tshirt Unit Amal saya dirampas. Pihak polis mendesak supaya saya memberitahu siapa dalang di belakang BERSIH. Saya tidak menjawab pertanyaan tersebut dan saya ditanya lagi Unit Amal ni dinaungi oleh siapa dan siapa ketua Unit Amal Malaysia. Saya menjawab YB Salahuddin Ayub, penaung dan ketua Unit Amal Malaysia. Kemudian saya tanya pegawai tersebut, adakah SB polis tidak membuat kerja sehingga tidak tahu berkaitan Unit Amal ni. Lalu pegawai tersebut terdiam.

Selepas puas soal siasat saya, saya ditahan di lokap sementara dan saya dapati terdapat seramai 9 orang anggota Unit Amal dari negeri lain juga ditahan. 5 orang dari Kedah, 2 dari Pahang, 2 lagi dari Terengganu termasuk saya semuanya 10 orang Unit Amal yang ditahan. Saya bertanya sahabat Unit Amal dari Kedah yang mana mereka semua di tahan di Masjid Jamek. Menurut mereka, pihak polis mula menahan mereka sebelum FRU membuat semburan kepada peserta himpunan di Masjid Jamek.

Kesemua Unit Amal termasuk saya ditahan di lokap IPKKL tersebut dalam keadaan tidak berbaju kerana kesemua tshirt Unit Amal kami dirampas sehinggalah sekitar pukul 10.30 malam kami dibebaskan oleh peguam dari Lajnah Guaman PAS Pusat tanpa diberikan baju tshirt Unit Amal kami. Selepas memulangkan telefon bimbit serta walkie talkie saya, saya terus menghubungi sahabat Unit Amal Wilayah Pesekutuan supaya membawakan baju untuk saya pakai. Walaupun telah dibebaskan, kesemua anggota Unit Amal yang ditahan itu dikehendaki melaporkan diri lagi di Balai Polis Dang Wangi pada 10 Disember 2007

Unit Amal Malaysia antara Cabaran dan Keikhlasan

Oleh jebatpembela

 10 November 2007 satu detik yang terlipat dalam sejarah Malaysia khususnya dan dunia am nya. Satu kejutan bukan sahaja kepada rejim thogut Barisan Nasional tetapi kejutan kepada pejuang-pejuang demokrasi itu sendiri. Siapa yang dapat menjangka wujudnya kesedaran politik yang semakin mekar dan keberanian menyatakan kebenaran di kalangan rakyat Malaysia terutama golongan muda. Tetapi yang lebih menariknya terserlah satu identiti yang telah lama wujud tetapi tidak begitu menonjol di peringkat kebangsaan iaitu Unit Amal Malaysia.

Setelah lebih 16 tahun berkhidmat baru sekarang menjadi buah mulut di kalangan rakyat Malaysia. Semua ini gara-gara kejayaan Himpunan 100000 Rakyat pada Sabtu yang bersejarah itu.

Di lancarkan pada tahun 1991 di Pantai Tok Jembal Kuala Terengganu dan sehingga kini terus gagah menabur khidmat kepada Parti Pas dan masyarakat. Apa sahaja bencana dalam negara seperti Tsunami di Kedah dan banjir besar di Johor , Unit Amal lah antara kumpulan yang sampai terlebih dahulu. Mereka juga pernah menghantar relawan ke Acheh Indonesia dalam misi kemanusiaan. Semua ini di buat tanpa ada sedikit pun laporan dalam dada -dada akhbar arus perdana. Tidak mustahil rakyat Malaysia hanya segelintir yang mengenali Unit ini.

Apa yang hendak di paparkan kali ini mengenai Unit ini yang bukan sahaja mengenai kehebatan dan istiqomahnya tetapi mengenai cabaran yang harus di hadapi sebagai ahli dan pejuang demokrasi Unit Amal Malaysia. Tidak ramai yang sanggup untuk bersama Unit ini. Lihat sahaja pada Unit ini , yang mana kita ambil Unit Amal Wilayah sebagai contoh, mereka tidak ada ahli yang ramai. Setiap kali ada program sama ada di Markas Tarbiyah Tmn Melewar atau program bersama masyarakat hanya beberapa muka yang sama sahaja.

Golongan ini lah yang menggerakkan setiap program negeri, pemuda dan kawasan sebenarnya. Mereka terus tabah walaupun sebenarnya mereka juga menghadapi tekanan dalam memenuhi tuntutan kehidupan. Berapa banyak masa yang mereka ada bersama keluarga? Saban minggu mereka berprogram. Setiap program mereka akan terpacak sampai tamat. Jika ada masa pun mereka tidak mampu nak membawa keluarga makan angin walaupun hendak pulang ke kampung. Ahli yang masih bujang pula masih terkial-kial mencari belanja sekiranya bertemu jodoh. Terbayang keletihan di raut wajah mereka. Kita lihat sahaja pada jamuan Aidilfitri yang lalu.

Siangnya bertugas mengawal lalulintas malamnya bertugas program ceramah sehingga ada yang tertidur di atas kerusi sementara menunggu ceramah tamat. Kebanyakan mereka adalah golongan kelas rendah yang tidak punyai pendapatan tetap dan ada juga yang berniaga kecilan. Mereka ini golongan yang di tarbiyah terus secara praktikal. Antara harta dan jemaah mereka lebih utamakan jemaah. Ketika mana ada golongan yang menjadikan jemaah sebagai tapak untuk mencari keuntungan, golongan yang merapati pimpinan semata-mata untuk kontrak dan sebagainya, mereka sedikitpun tidak memperdulikannya.

Teringat kisah pengarahnya yang berkampung PRK Pengkalan Pasir hampir 2 minggu sedangkan isteri di rumah tunggu masa untuk melahirkan cahaya mata. Juga anak buahnya yang menunggang motosikal ke PRK Kuala Berang dan meninggal kan perniagaan selama hampir 2 minggu untuk PRK Pengkalan Pasir ketika mana tidak ramai pemuda dan pimpinan pemuda sanggup untuk turun bersama-sama. Semua hanya pahala bagi mereka. Mereka hanya ada Allah dan Rasul. Semangat mereka harus di contohi . Keihklasan mereka wajar di turuti.

Bukan untuk memuji Unit Amal Wilayah, dan percaya Unit Amal negeri lain pun sama hebatnya. Tetapi inilah contoh yang terdekat untuk kita sama -sama renungkan. Ketika pujian melambung di berikan, mereka tersenyum menantikan cabaran yang akan mendatang. Kepada Pemuda, ini masanya untuk Unit ini turun mendampingi masyarakat, jika ada ceramah dan sebagai nya Pemuda harus turun sendiri menjaga lalulintas dan keselamatan.Pemuda jangan terlalu banyak alasan. Unit ini harus kembali pada skop asal mereka. Jangan terus menekan mereka untuk melaksanakan program parti sedangkan Pemuda sendiri seringkali ‘meloloskan diri’. Jika ada bertembung program masyarakat dan parti maka lepaskan mereka kerana sebenarnya tugas mereka bersama masyarakat.

Kepada ahli- ahli Pas, minta hormati mereka jika mereka menjalankan tugas. Kerana yang berhadapan maki hamun orang ramai adalah mereka.
Ketika kita lena di ulit mimpi, mereka masih berada di tapak ceramah membersih dan mengemas. Ketika kita sibuk bermain dengan anak-anak, mereka hanya mampu ‘memejamkan mata’ demi cinta tegaknya Islam di muka bumi ini. Kepada pimpinan, mereka tidak meminta di hormati, tetapi jaga lah perasaan mereka. Bila di amanah tugas ketika program, pimpinan harus akur arahan mereka walaupun kedudukan mereka jauh lebih rendah. Jangan berlaku lagi seperti Himpunan Rakyat yang lepas , ada antara pimpinan sendiri yang tidak mendengar arahan malah mengherdik anggota Amal.Pimpinan harus menilai mereka, ketika kita mempunyai kehidupan yang lebih stabil , mereka terus mempertaruhkan masa depan anak-anak mereka , mengorbankan segalanya demi Allah dan Rasulnya.

Akhir kata, alhamdulillah, terima kasih pada Unit Amal Malaysia atas kejayaan melicinkan program Himpunan Rakyat. Moga lepas ini terbuka pintu hati ibu bapa untuk mengizinkan anak-anak bersama Unit ini. Untuk anak perempuan sudah di tubuhkan Srikandi iaitu Unit Amal Muslimat. Bagi mereka yang berkemampuan hulurkan lah sumbangan kewangan agar segala program yang di atur dapat di jayakan. Kepada Unit Amal, hati-hati kerana musuh Islam akan cuba menjatuhkan dan merosakkan imej Unit ini. Mungkin mereka akan cuba kaitkan Unit ini dengan militan setelah mereka gagal dengan Al Maunah, JI, KMM dan sebagainya.

Moga Allah berkati kamu semua, moga Alllah balas usaha kamu dengan syurgaNya, moga Allah balas keperihan hidup kamu dengan kebahagian di akhirat kelak. Kamu adalah pejuang Islam sebenarnya. Moga terus ikhlas , istiqomah dan beramal kerana Allah SWT. Allahuakhbar! Alllahuakhbar! Allahuakhbar!

Anggota Unit Amal Ditahan: Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Rayu Sumbangan



Timbalan Ketua Pengarah 3 Jabatan Amal Malaysia DPPP, Saripuddin Mohd Yatim @ Champ antara yang ditahan dalam himpunan tersebut

oleh : KSU Jabatan Amal Malaysia DPPP

 Kuala Lumpur 24 Nov 2008 - Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Jamsari Marsom (gambar) hari ini menyeru kepada semua pendokong gerakan Islam, ahli-ahli dari Pakatan Rakyat serta para dermawan agar dapat menghulurkan sumbangan kepada tabung dana 'Perihatin Amal Malaysia' bagi membantu beberapa anggota Unit Amal Malaysia yang ditahan dalam program ceramah sempena kempen himpunan anti ISA di Pandan Indah kelmarin.

Seruan yang dibuat melalui Setiausahanya, memohon orang ramai dapat membantu anggota Unit Amal yang ditahan itu agar dapat membuat persediaan sekiranya mereka dikenakan jaminan wang ketika menghadiri perbicaraan pada 8 & 9 Disember ini.

Selain daripada membantu meringankan bebanan anggota Unit Amal yang ditahan, tabung ini juga akan digunakan untuk membantu anggota Unit Amal yang ditimpa musibah, kesempitan hidup, menyambung pelajaran dan lain-lain lagi khusus untuk kebajikan anggota-anggota Unit Amal seluruh Malaysia.

Menurut Ustaz Jamsari lagi, satu program khas akan dirancang bagi melancarkan tabung dana ini dengan lebih meluas yang mana ianya akan dilancarkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Salahudin Ayub.

Bagi peringkat permulaan, semua Jabatan Amal negeri telah diarahkan untuk memohon sumbangan seminima RM 5.00 sebulan daripada anggota-anggota Unit Amal negeri masing-masing yang berkemampuan untuk mengisi tabung dana ini.

 Sekiranya tuan/puan ingin menghulurkan sumbangan, sila masukkan kedalam akaun Jabatan Amal Malaysia DPPP seperti yang tertera di sebelah.

Setiap sumbangan tuan diharap dapat dimaklumkan melalui sms kepada :

1) Ustaz Jamsari Marsom : 013-4298130
2) Mohd Hafiz Musa : 019-9817327
3) Mohd Shahraini Abu Sahid : 017-8812996


lawati :

http://jabamal.blogspot.com

Berjuang Itu Manis: Tahniah Buat Unit Amal Malaysia



Akhbar Nanyang Siang Pau, 2 Ogos 2009

Kejayaan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengerahkan Himpunan 100,000
pada 1 Ogos 2009 di ibu negara dilihat sebagai penyumbang kepada pembinaan matarantai penyuburan gerakan kebangkitan rakyat Malaysia dalam menolak segala kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap rakyat.

BN yang kini berada di jalan mati terpaksa mencapai apa jua objek yang boleh memanjangkan hayatnya yang semakin mereput. PRU ke 12 membuktikan Felda & undi pos menjadi talian hayat UMNO/BN. Tiba-tiba ketibaan 1 Ogos telah menyaksikan penggredan baru terhadap status PDRM bilamana mereka dikerah untuk bertempur dengan rakyat yang ingin menyuarakan hak mereka bagi menolak akta zalim ISA yang tidak lagi releven untuk dilaksanakan.

Rakyat yang hanya bersenjatakan suara diganasi polis dengan segala produk tempur. Belantannya, gasnya, semburan air berasidnya, tangkapannya dan segala macam kekuatan yang mereka miliki. Nasib rakyat tak ubah bagaikan penderitaan Saidina Bilal Bin Rabah sewaktu diseksa majikannya.

Di sanalah dunia menyaksikan kemunculan tentera merah yang menjadikan diri mereka sebagai perisai dan benteng manusia bagi mengemudi perjalanan rakyat ke Istana Negara. Benar, topi merah bukan lawan mereka tetapi kesabaran dan kekentalan yang mereka miliki mampu menjadi model sebuah briged amal di jalan Allah. Saya yakin jika apa yang dimiliki oleh pihak FRU itu menjadi hiasan dan pakaian mereka, pasti tentera merah lebih berotoriti untuk menjaga keamanan negara. Tetapi rasanya bukan itu maksud adanya mereka.

Biarlah rakyat diberi ruang untuk mengungkapkan ucapan tahniah & syabas buat tentera merah. Dan saya adalah sebahagian daripada mereka. Tahniah buat Unit Amal Malaysia... Semuga amal baktimu diterima Allah.

MEMOHON SUMBANGAN UNTUK UNIT AMAL MALAYSIA

Seramai 10 orang anggota Unit Amal Malaysia telah ditahan oleh pihak polis pada Himpunan Rakyat anjuran BERSIH 10 November lalu. Kesemua mereka yang ditahan itu ialah Mohd Zad b. Abdullah (W.Persekutuan), Nawi b. Abdullah (Pahang), Mohamad b. Arifin (Pahang), Ishak b. Osman (Kedah), Taib b. Abdullah (Kedah), Abi Salam b. Ariffin (Kedah), Mohd Nazrin b. Mohd Nasir (Kedah), Syafie b. Ismail (Kedah), Yahya Mohd Nor (Terengganu) dan Fauzi Awang (Terengganu).

Daripada laporan yang diberikan, mereka ditahan oleh pihak polis adalah bertujuan untuk memastikan tugasan yang diberikan kepada mereka bagi mengawal keamanan himpunan tersebut gagal. Walaupun dibebaskan pada pukul 10.30 malam hari yang sama, kesemua anggota Unit Amal yang ditahan itu dikehendaki melaporkan diri ke Balai Polis Dang Wangi pada 10 Disember 2007 nanti.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Amal Malaysia Dewan Pemuda PAS Pusat ingin memohon daripada semua para pencinta keadilan agar dapat menghulurkan sumbangan kepada 10 anggota Unit Amal yang ditahan ini bagi menampung kos perbelanjaan pengangkutan mereka untuk hadir melaporkan diri ke Balai Polis Dang Wangi bulan hadapan. Selain daripada itu Jabatan Amal Malaysia juga memerlukan sumbangan untuk terus memperkasakan organisasi agar seluruh anggota Unit Amal Malaysia dapat memberikan perkhidmatan serta melaksanakan kebajikan kepada masyarakat.

Sumbangan tuan/puan bolehlah dimasukkan kedalam akaun Jabatan Amal Malaysia yang baru diwujudkan seperti berikut :

JABATAN AMAL MALAYSIA DPPP
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) : 140-14010-133-669

Segala makluman tentang sumbangan bolehlah dimaklumkan kepada :

1) Mohd Hafiz b. Musa (Pengarah Kewangan) : 019-9817327
2) Mohd Shahraini Abu Sahid (Setiausaha) : 013-2449849


Sekian, terima kasih.

MOHD SHAHRAINI ABU SAHID
Setiausaha Jabatan Amal Malaysia
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites